11 March, 2012

*~Komitmen~*

Sengaja saya memilih tarikh hari ini untuk menulis entri berkenaan komitmen. Apa kaitan tarikh hari ini dengan apa yang bakal saya kongsikan dengan anda?

Secara jujurnya, saya tidak tahu sama ada ianya mempunyai kaitan dengan anda ataupun tidak. Tetapi, jutaan terima kasih ingin diucapkan atas kesudian kalian untuk terus membaca entri kali ini.

Komitmen? Semenjak dahulu, perkataan komitmen ini sangat dekat dengan saya. Malah, mungkin juga perkataan ini dekat dengan anda semua. Namun, sedekat mana pun perkataan ini dengan kita, sejauh mana pula kita mengikat rasa komitmen itu dengan diri kita?

Sungguh, dalam setiap apa sahaja yang kita lakukan, kita harus memberikan komitmen sepenuhnya! Tidak kiralah kerjaya, percintaan, persahabatan, keluarga, mahupun apa sahaja yang sedang anda usahakan. Komitmen antara kata kunci utama untuk kita menjayakan sesuatu.

Dan sempena 11 Mac 2012 ini, saya mengikat rasa komitmen itu seketat-ketatnya dengan mengumumkan beberapa perkara (dengan harapan anda semua mendoakan saya, insyaAllah) iaitu:

bayi sukses

  1. Saya ingin mendirikan ‘masjid’ pada tahun ini juga (2012)!
  2. Sebanyak sebuah novel akan diterbitkan, 7 buah puisi dan 3 buah cerpen akan disiarkan bagi tahun 2012!
  3. Saya ingin mengembangkan AL HAFIZ CONSULTANTS (AHC), sebuah agensi perunding kewangan dan motivasi yang telah saya wujudkan pada tahun 2008 supaya dapat membantu masyarakat amnya dan membantu ahli-ahli naungan AHC khasnya.

Ketiga-tiga perkara di atas merupakan komitmen utama saya sepanjang tahun ini. Saya mohon agar kalian dapat sama-sama mendoakan agar saya mencapai hasrat-hasrat tersebut.

Saya juga mengalu-alukan anda semua untuk berkongsi komitmen anda dengan saya supaya saya juga dapat mendoakan kejayaan anda, insyaAllah.

Saya mengikat komitmen saya! Kini, anda pula… =)

29 February, 2012

*~Sejarah~*

Assalamualaikum w.b.t.

Kita semua telah, sedang dan akan mencipta sejarah! Percaya atau tidak, saya akan buktikan bahawa kita semua telah, sedang dan akan mencipta sejarah.

Pada tanggal hari kelahiran kita, secara tidak langsung kita telah pun mencipta sejarah, sama ada peribadi kepada diri sendiri mahupun kepada keluarga kita. Kita melakar sejarah baru saat sebaik sahaja kita keluar daripada rahim ibu kita.

Kini, kita sedang mencipta sejarah. Malah, saat saya menulis entri ini, saya sebenarnya sedang mencipta sejarah saya yang tersendiri. Begitu juga dengan anda yang sedang membaca entri ini, anda sedang mencipta sejarah anda. Sejarah walaupun pada dasarnya mungkin untuk perkara yang lepas-lepas, tetapi sedang dan akan itu lebih mengujakan daripada telah.

Seorang teman berkongsi ayat ini dengan saya; “Kita tidak akan mencipta sejarah baru jika kita membenarkan diri kita terikat dengan sejarah lama!”

dontgiveup-114

Dan kerana itu, 29 Februari 2012 merupakan titik baru saya dalam mencipta sejarah akan datang. Hari ini, petang tadi, saya menongkah arus berbeza dengan mempertahankan pendirian saya setelah sekian lama ‘memekakkan telinga, membutakan mata’ terhadap perkara-perkara yang melanggar pendirian saya selama ini. Apa yang mengujakan saya (seperti yang dikatakan tadi), saya tidak sabar melihat dan melalui perkara-perkara yang mengasyikkan sepanjang perjalanan saya untuk tempoh masa 4 tahun daripada sekarang (memandangkan tarikh ini merupakan tarikh tahun lompat).

Doa saya agar segalanya dipermudahkan oleh Allah s.w.t dan saya juga mendoakan supaya setiap daripada kita akan terus mencipta sejarah dalam hidup kita. Jom cipta SEJARAH!

02 February, 2012

*~Peraduan Menulis Ulasan Novel: MANIFESTASI POSTMORTAL Dilanjutkan~*

Assalamualaikum w.b.t.

Atas permintaan beberapa orang pembaca, saya lanjutkan PERADUAN MENULIS ULASAN NOVEL: MANIFESTASI POSTMORTAL yang sepatutnya berakhir pada 31 Januari 2012 yang lalu kepada:

29 FEBRUARI 2012 (RABU)

Sila emelkan ulasan anda kepada saya. Maklumat lanjut mengenai peraduan ini boleh didapati di sini.

Selamat membaca dan selamat mengulas!

Terima kasih. =)